SELAMAT DATANG KE ZON SEKOLAH KAMI

Monday, May 17, 2010

INSENTIF KEPADA GURU

Insentif Kepada Guru


Menyelami setiap cabaran yang mesti diharungi oleh guru dalam memenuhi tuntutan kemajuan negara dan membentuk keperibadian insan yang mulia, saya memahami bahawa guru sebenarnya memikul amanah yang besar. Melaksanakan amanah ini pula bukanlah satu tugas yang mudah. Harapan masyarakat terhadap guru amat tinggi dan cabaran yang dihadapi bukannya sedikit.

Pada masa yang sama, saya juga mendengar pelbagai keluhan dan rintihan guru. Saya diberitahu guru banyak dibebani dengan tugas sampingan di sekolah; proses kenaikan pangkat juga mengambil masa lama; tiada insentif khusus menghargai dan mengiktiraf jasa guru dalam meningkatkan pencapaian murid; dan masalah penempatan serta pertukaran guru terutama di luar bandar dan pedalaman yang menimbulkan keresahan di kalangan guru.

Saya ingin mengambil kesempatan pada majlis sambutan Hari Guru ini untuk mengumumkan beberapa inisiatif yang telah dan akan diambil oleh Kementerian Pelajaran. Mengenai isu beban tugas guru yang telah dikemukakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) ketika sesi pertemuan dengan saya pada Mac lalu, saya telah mengarahkan satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia ditubuhkan bagi meneliti isu yang dibangkitkan. Jawatankuasa ini yang turut dianggotai beberapa orang wakil kesatuan guru telahpun mengadakan mesyuarat bagi meneliti syor-syor yang dikemukakan serta mencadangkan penambahbaikan.

Antara beberapa syor jawatankuasa ini yang boleh dilaksanakan dengan segera untuk meringankan beban tugas guru ialah:

Pertama, mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar. Pada masa ini, ada sekolah yang mempunyai hampir 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid serta kebersihan, keceriaan dan keselamatan murid yang memerlukan curahan masa dan tenaga guru yang bukan sedikit.

Pengecilan jumlah jawatankuasa melalui penggabungan atau pemansuhan bukan saja akan mengurangkan bebanan tugas guru tetapi juga memberi peluang kepada guru untuk menumpukan perhatian kepada tugas hakiki. Di samping itu, perlu dipastikan pembahagian tugas di sekolah diagih secara adil untuk mengelakkan bebanan tugas tertumpu kepada-guru tertentu saja.

Kedua, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian pada peringkat sekolah yang merupakan salah satu daripada punca pertambahan bebanan tugas guru. Saya dapati ada sekolah yang jumlah peperiksaan dalamannya saja mencecah hampir 20 tidak termasuk peperiksaan awam. Jumlah peperiksaan dalaman ini perlu dikaji semula bukan saja untuk meringankan bebanan guru tetapi mengelakkan sistem persekolahan kita daripada menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan.

Ketiga, menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah. Saya tahu bahawa ini adalah antara keluhan utama guru. Saya bersetuju guru tidak perlu dibebankan dengan tugas perkeranian yang terlalu banyak sehingga mengganggu tugas hakiki yang lebih penting, iaitu pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Apatah lagi, dalam usaha kita untuk melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu diberikan lebih banyak masa untuk merancang pengajaran yang lebih berkesan dan membuat persiapan mengajar.

Justeru, Jawatankuasa Mengkaji Bebanan Tugas Guru akan menyediakan Garis Panduan yang lebih terperinci bagi membezakan antara tanggungjawab hakiki guru dengan beban tugas perkeranian yang tidak sepatutnya dilakukan oleh guru. Garis panduan terperinci ini akan diumumkan setelah pihak jawatankuasa selesai mengkaji isu ini dan mengemukakan laporan akhir.

Keempat, kursus penting yang perlu dihadiri oleh guru juga akan diselaraskan di peringkat Kementerian Pelajaran supaya tidak wujud pertindihan kursus atau keadaan di mana guru yang sama terpaksa mengikuti pelbagai jenis kursus yang dianjurkan di peringkat Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.

Dengan adanya penyelarasan yang lebih sistematik, bukan saja guru dapat mengurus masa dengan lebih cekap, malah merancang untuk mengikuti program pembangunan profesionalisme dengan lebih baik.

Saya juga ingin mengumumkan inisiatif yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran untuk menyediakan laluan kerjaya yang lebih baik kepada guru. Buat permulaan, Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP) telah meluluskan sebanyak 25,289 kenaikan pangkat bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma atau Bukan Siswazah (PPPLD) sehingga April 2010.

Daripada jumlah itu, 15,320 jawatan adalah bagi PPPS, manakala seramai 9,969 jawatan bagi PPPLD. Pecahan Kenaikan pangkat ini meliputi tiga kategori iaitu Time-based, Guru Cemerlang dan kenaikan secara hakiki kategori DGA32, DGA34, DG44, DG48, DG52 dan DG54.

Kenaikan pangkat ini merangkumi pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia dan guru-guru. Selain itu, LKPPP juga meluluskan 3,205 jawatan pemangkuan gred DG44, DG48, DG52 bagi PPPS.

Untuk mempercepatkan proses kenaikan pangkat, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersetuju urusan kenaikan pangkat secara Time-based Gred DG44 dan DG48 bagi Pegawai Perkhidmatan Siswazah dilaksanakan Kementerian Pelajaran. Di samping itu, sejajar dengan matlamat Kementerian meningkatkan kualiti guru, pegawai perkhidmatan siswazah yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah akan menikmati kenaikan satu gred jika memenuhi kriteria dan syarat yang akan ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Pelaksanaan kenaikan gred bagi pemegang ijazah Doktor Falsafah dilaksanakan pada tahun ini. Saya berharap agar proses kenaikan pangkat dan pengesahan pemangkuan bagi mereka yang telah memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dapat diurus dengan kadar segera.

Selaras dengan konsep mengutamakan pencapaian dan keberhasilan, sukacita saya mengumumkan new deals atau Tawaran Baru kepada pengetua, guru besar dan guru. Di bawah Tawaran Baru ini, ganjaran kewangan akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing melepasi sasaran Skor Komposit 92 peratus bagi sekolah menengah dan 84 peratus bagi sekolah rendah.

Ganjaran juga akan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang berjaya melonjakkan kedudukan sekolah dalam ranking Skor Komposit, iaitu lonjakan sebanyak 2,500 tempat bagi sekolah rendah dan 300 tempat bagi sekolah menengah. Skor Komposit ini dikira berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Pengetua dan Guru Besar yang mencapai sasaran KPI ini akan menerima ganjaran kewangan sebanyak RM7,500.

Guru di sekolah berkenaan yang berada dalam kumpulan lima peratus teratas berdasarkan tahap penilaian prestasi tahunan juga akan menerima ganjaran RM1,800 dan 95 peratus guru berikutnya akan menerima ganjaran RM900.

Tawaran Baru yang merupakan satu bentuk insentif berasaskan pencapaian ini diharap akan dapat menyuntik semangat baru kepada guru-guru untuk bekerja dengan lebih gigih bagi meningkatkan prestasi sekolah dan keberhasilan murid.

Kerajaan juga sedang menimbang pelaksanaan beberapa inisiatif kenaikan pangkat berasaskan pencapaian lebih cepat kepada mereka yang benar-benar menunjukkan kebolehan. Mewujudkan laluan kerjaya yang lebih baik untuk guru adalah satu daripada langkah kerajaan memartabatkan profesion keguruan di samping menarik lebih ramai best brain untuk menyertai kerjaya ini.

Untuk mengatasi masalah penempatan di pedalaman yang sering menimbulkan keresahan guru, saya telah mengarahkan sistem pemantauan penempatan guru yang lebih cekap dan adil diwujudkan. Maklumat mengenai tempoh perkhidmatan guru di kawasan pedalaman perlu dikemas kini secara online untuk memastikan mereka yang telah lama berkhidmat di kawasan pedalaman diberi peluang untuk berkhidmat di bandar pula. Dengan adanya sistem pemantauan yang lebih cekap dan adil ini, kita akan dapat menjamin bahawa guru-guru yang ditempatkan di luar bandar tidak akan disisih dan diabaikan.

Saturday, May 15, 2010

PERUTUSAN HARI GURU


 


PERUTUSAN HARI GURU 2010

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasehi sekelian.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010 kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.

2. Tahun ini, sekali lagi tema 'Guru Pembina Negara Bangsa' dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.

3. Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.

4. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.

5. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Rasulullah SAW sejak awal sudah mencontohkan dalam mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau

lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.

Warga pendidik dan pelajar sekelian..

6. Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.

7. Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan. Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran

tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.

8. Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia "Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif 'collegiality' yang membawa maksud "the cooperative relationship with colleagues" (keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.

9. Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.

10. Penilaian Petunjuk Prestasi (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.

11. Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.

Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.

TERIMA KASIH CIKGU! …"SELAMAT HARI GURU".